PDF —
182 Ayat Makkiyah PDF
Built right in your browser — download starts automatically

Surah As-Saffat pdf — Muat Turun (Melayu)

Surah As-Saffat pdf Melayu — Muat Turun Surah As-Saffat Terjemahan. Surah As-Saffat (Makkiyah) 182 Ayat.

← YasinSurah As-Saffat Sad →


182 Ayat · Makkiyah · Melayu
bismillah
ﭑﭒﭓ
37:1 Demi (hamba-hambaKu) yang berbaris dengan berderet-deret -
ﭔﭕﭖ
37:2 (Hamba-hambaKu) yang melarang (dari kejahatan) dengan sesungguh-sungguhnya -
ﭗﭘﭙ
37:3 (Hamba-hambaKu) yang membaca kandungan Kitab Suci;
ﭚﭛﭜﭝ
37:4 (Sumpah demi sumpah) sesungguhnya Tuhan kamu hanyalah Satu -
ﭞﭟﭠﭡﭢﭣﭤﭥ
37:5 Tuhan (yang mencipta serta mentadbirkan) langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya, dan Tuhan (yang mengatur) tempat-tempat terbit matahari.
ﭦﭧﭨﭩﭪﭫﭬ
37:6 Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan hiasan bintang-bintang.
ﭭﭮﭯﭰﭱﭲ
37:7 Dan (Kami pelihara urusan langit itu) dengan serapi-rapi kawalan dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang derhaka;
ﭳﭴﭵﭶﭷﭸﭹﭺﭻﭼ
37:8 (Dengan itu) mereka tidak dapat memasang telinga mendengar (percakapan malaikat) penduduk langit, dan mereka pula direjam (dengan api) dari segala arah dan penjuru,
ﭽﭾﭿﮀﮁﮂ
37:9 Untuk mengusir mereka; dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak putus-putus.
ﮃﮄﮅﮆﮇﮈﮉﮊ
37:10 Kecuali sesiapa di antara Syaitan-syaitan itu yang curi mendengar mana-mana percakapan (malaikat), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menjulang lagi menembusi.
ﮋﮌﮍﮎﮏﮐﮑﮒﮓﮔﮕﮖﮗﮘ
37:11 (Setelah nyata kekuasaan Kami) maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka (yang ingkarkan hidupnya semula orang-orang mati): Adakah diri mereka lebih sukar hendak diciptakan, atau makhluk-makhluk lain yang Kami telah ciptakan? Sesungguhnya Kami telah mencipta mereka dari tanah liat (yang senang diubah dan diciptakan semula).
ﮙﮚﮛﮜ
37:12 (Pertanyaan itu tidak juga berfaedah kepada mereka) bahkan engkau merasa hairan (terhadap keingkaran mereka), dan sebaliknya mereka mengejek-ejek (peneranganmu).
ﮝﮞﮟﮠﮡ
37:13 Dan apabila diperingatkan, mereka tetap tidak mahu menerima peringatan itu.
ﮢﮣﮤﮥﮦ
37:14 Dan apabila mereka melihat sesuatu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami dan kebenaranmu), mereka mencari-cari jalan memperolok-olokkannya, -
ﮧﮨﮩﮪﮫﮬﮭ
37:15 Serta mereka berkata: "Ini tidak lain hanyalah sihir yang nyata.
ﮮﮯﮰﮱﯓﯔﯕﯖ
37:16 "Adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, adakah kita akan dibangkitkan hidup semula?
ﯗﯘﯙ
37:17 "Dan adakah juga datuk nenek kita yang telah lalu (akan dibangkitkan hidup semula)?"
ﯚﯛﯜﯝﯞ
37:18 Jawablah (wahai Muhammad): "Ya, benar !(Kamu semua akan dibangkitkan) dengan keadaan hina-dina ".
ﯟﯠﯡﯢﯣﯤﯥﯦ
37:19 (Kebangkitan ini mudah) kerana sesungguhnya ia boleh berlaku hanyalah dengan suara sahaja, maka dengan serta mereka semuanya (bangkit) melihat (apa yang akan jadi).
ﯧﯨﯩﯪﯫﯬ
37:20 Dan (pada saat itu) mereka berkata:" Wahai celakanya kami, ini ialah hari balasan!"
ﯭﯮﯯﯰﯱﯲﯳﯴ
37:21 (Lalu malaikat berkata kepada mereka): " Ini ialah hari memutuskan hukum untuk memberi balasan yang dahulu kamu mendustakannya ".
ﯵﯶﯷﯸﯹﯺﯻﯼﯽ
37:22 (Allah berfirman kepada malaikat):" Himpunkanlah orang-orang yang zalim itu, dan orang-orang yang berkeadaan seperti mereka, serta benda-benda yang mereka sembah -
ﯾﯿﰀﰁﰂﰃﰄﰅ
37:23 "Yang lain dari Allah serta hadapkanlah mereka ke jalan yang membawa ke neraka.
ﰆﰇﰈﰉﰊ
37:24 "Dan hentikanlah mereka (menunggu), kerana sesungguhnya mereka akan disoal:
ﭑﭒﭓﭔﭕ
37:25 "Mengapa kamu tidak bertolong-tolongan (sebagaimana yang kamu dakwakan dahulu?"
ﭖﭗﭘﭙﭚ
37:26 (Mereka pada ketika itu tidak dapat berbuat apa-apa) bahkan mereka pada hari itu menyerah diri dengan hina (untuk diadili);
ﭛﭜﭝﭞﭟﭠ
37:27 Dan masing-masing pun mengadap satu sama lain, sambil kata mengata dan cela mencela.
ﭡﭢﭣﭤﭥﭦﭧ
37:28 Pengikut-pengikut berkata (kepada ketuanya):" Sesungguhnya kamu dahulu selalu datang menyekat kami (daripada beriman) dengan menggunakan kuasa kamu".
ﭨﭩﭪﭫﭬﭭ
37:29 Ketua-ketuanya menjawab: " (Tidak!) Bahkan kamulah sendiri tidak mahu menjadi orang-orang yang beriman!
ﭮﭯﭰﭱﭲﭳﭴﭵﭶﭷﭸﭹ
37:30 "Dan kami (selain daripada mengajak kamu (tidak mempunyai sebarang kuasa memerintah kamu, bahkan kamu sememangnya kaum yang melampaui batas.
ﭺﭻﭼﭽﭾﭿﮀﮁ
37:31 (Dengan keadaan diri kita yang sedemikian) maka tetaplah di atas kita janji seksa (yang dijanjikan) oleh Tuhan kita, bahawa kita semua tentu akan merasai (azab itu).
ﮂﮃﮄﮅﮆ
37:32 "(Dengan sebab ketentuan yang tersebut) maka kami pun mengajak kamu menjadi sesat, kerana sebenarnya kami adalah orang-orang sesat"
ﮇﮈﮉﮊﮋﮌ
37:33 Maka sesungguhnya mereka semua pada hari itu, menderita azab bersama.
ﮍﮎﮏﮐﮑ
37:34 Sesungguhnya demikianlah Kami melakukan kepada orang-orang yang berdosa.
ﮒﮓﮔﮕﮖﮗﮘﮙﮚﮛﮜ
37:35 Sebenarnya mereka dahulu apabila dikatakan kepadanya;" (ketahuilah, bahawa) tiada Tuhan yang sebenar-benarnya melainkan Allah" - mereka bersikap takbur mengingkarinya, -
ﮝﮞﮟﮠﮡﮢﮣ
37:36 Serta mereka berkata: " Patutkah kami mesti meninggalkan tuhan-tuhan yang kami sembah, kerana mendengar ajakan seorang penyair gila?"
ﮤﮥﮦﮧﮨﮩ
37:37 (Tidak! Nabi Muhammad bukan penyair dan bukan pula seorang gila) bahkan ia telah membawa kebenaran (tauhid), dan mengesahkan kebenaran (tauhid) yang dibawa oleh Rasul-rasul (yang terdahulu daripadanya).
ﮪﮫﮬﮭﮮ
37:38 Sesungguhnya kamu (wahai orang-orang musyrik) akan merasai azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
ﮯﮰﮱﯓﯔﯕﯖ
37:39 Dan kamu tidak dibalas melainkan (dengan balasan yang sepadan) dengan apa yang kamu telah kerjakan;
ﯗﯘﯙﯚﯛ
37:40 Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik,
ﯜﯝﯞﯟﯠ
37:41 Mereka itu beroleh limpah kurnia yang termaklum,
ﯡﯢﯣﯤ
37:42 Iaitu buah-buahan (yang lazat), serta mereka mendapat penghormatan,
ﯥﯦﯧﯨ
37:43 Di dalam syurga-syurga yang penuh melimpah dengan berjenis-jenis nikmat.
ﯩﯪﯫﯬ
37:44 Mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin-pelamin kebesaran;
ﯭﯮﯯﯰﯱﯲ
37:45 Diedarkan kepada mereka piala yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir,
ﯳﯴﯵﯶ
37:46 Minuman itu putih bersih, lagi lazat rasanya, bagi orang-orang yang meminumnya,
ﯷﯸﯹﯺﯻﯼﯽﯾ
37:47 Ia tidak mengandungi sesuatu yang membahayakan, dan tidak pula mereka mabuk kerana menikmatinya.
ﯿﰀﰁﰂﰃ
37:48 Sedang di sisi mereka ada pula bidadari-bidadari yang tidak menumpukan pandangannya melainkan kepada mereka, lagi yang amat indah luas matanya;
ﰄﰅﰆﰇ
37:49 (Putih kekuning-kuningan) seolah-olah mereka telur (burung kasuari) yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.
ﰈﰉﰊﰋﰌﰍ
37:50 (Tinggalah penduduk Syurga itu menikmati kesenangan), lalu setengahnya mengadap yang lain, sambil berbincang dan bertanya-tanyaan.
ﰎﰏﰐﰑﰒﰓﰔﰕ
37:51 Seorang di antaranya berkata: " Sesungguhnya aku (di dunia) dahulu, ada seorang rakan (yang menempelak daku).
ﭑﭒﭓﭔﭕ
37:52 "katanya: Adakah engkau juga salah seorang dari golongan yang mengakui benarnya (kebangkitan orang-orang mati pada hari akhirat)?
ﭖﭗﭘﭙﭚﭛﭜﭝ
37:53 "Adakah sesudah kita mati dan menjadi tanah dan tulang, adakah kita akan (dihidupkan semula serta) dibalas apa yang telah kita lakukan? " '
ﭞﭟﭠﭡﭢ
37:54 (Setelah menceritakan perihal rakannya itu) ia berkata lagi: " Adakah kamu hendak melihat (keadaan rakanku yang ingkar itu)?"
ﭣﭤﭥﭦﭧﭨ
37:55 Maka ia pun memandang (ke arah neraka), lalu dilihatnya rakannya itu berada ditengah-tengah neraka yang menjulang-julang.
ﭩﭪﭫﭬﭭﭮ
37:56 Ia pun (menempelaknya dengan) berkata:" Demi Allah! Nyaris-nyaris engkau menceburkan daku dalam kebinasaan.
ﭯﭰﭱﭲﭳﭴﭵ
37:57 "Dan kalaulah tidak disebabkan nikmat pemberian Tuhanku (dengan hidayah petunjuk), nescaya akan menjadilah daku dari orang-orang yang dibawa hadir (untuk menerima balasan azab) ".
ﭶﭷﭸﭹ
37:58 (Kemudian ia berkata kepada rakan-rakanya yang sedang menikmati kesenangan di Syurga bersama): " Bukankah kita (setelah mendapat nikmat-nikmat ini) tidak akan mati lagi, -
ﭺﭻﭼﭽﭾﭿﮀ
37:59 "Selain dari kematian kita yang dahulu, dan kita juga tidak akan terkena seksa?"
ﮁﮂﮃﮄﮅﮆ
37:60 Sesungguhnya (nikmat-nikmat kesenangan Syurga) yang demikian, ialah sebenar-benar pendapatan dan kemenangan yang besar.
ﮇﮈﮉﮊﮋ
37:61 Untuk memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia).
ﮌﮍﮎﮏﮐﮑﮒ
37:62 Manakah yang lebih baik, limpah kurniaan yang termaklum itu atau pokok zaqqum?
ﮓﮔﮕﮖﮗ
37:63 Sesungguhnya Kami jadikan pokok zaqqum itu satu ujian bagi orang-orang yang zalim (di dunia dan azab seksa bagi mereka di akhirat).
ﮘﮙﮚﮛﮜﮝﮞ
37:64 Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang;
ﮟﮠﮡﮢﮣ
37:65 Buahnya seolah-olah kepala Syaitan-syaitan;
ﮤﮥﮦﮧﮨﮩﮪ
37:66 Maka sudah tentu mereka akan makan dari buahnya (sekalipun pahit dan busuk), sehingga mereka memenuhi perut darinya.
ﮫﮬﮭﮮﮯﮰﮱﯓ
37:67 Kemudian, sesungguhnya mereka akan beroleh lagi - selain itu- satu minuman campuran dari air panas yang menggelegak.
ﯔﯕﯖﯗﯘﯙ
37:68 Setelah (mereka dibawa minum) maka tempat kembali mereka tetaplah ke dalam neraka yang menjulang-julang.
ﯚﯛﯜﯝﯞ
37:69 Sebenarnya mereka telah mendapati datuk nenek mereka berada dalam kesesatan;
ﯟﯠﯡﯢﯣ
37:70 Lalu mereka terburu-buru menurut jejak langkah datuk neneknya.
ﯤﯥﯦﯧﯨﯩ
37:71 Dan demi sesungguhnya, telah sesat juga - sebelum kaummu (wahai Muhammad) - kebanyakan kaum-kaum yang telah lalu.
ﯪﯫﯬﯭﯮ
37:72 Pada hal, demi sesungguhnya, Kami telahpun mengutus dalam kalangan kaum-kaum itu, Rasul-rasul pemberi amaran.
ﯯﯰﯱﯲﯳﯴ
37:73 Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan Rasul-rasul Kami) setelah diberi amaran, -
ﯵﯶﯷﯸﯹ
37:74 Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik (maka mereka akan terselamat dan mendapat sebaik-baik balasan).
ﯺﯻﯼﯽﯾﯿ
37:75 Dan demi sesungguhnya, Nabi Nuh telah berdoa merayu kepada Kami (memohon pertolongan), maka Kami adalah sebaik-baik yang kabulkan doa permohonan.
ﰀﰁﰂﰃﰄﰅ
37:76 Dan Kami telah selamatkan dia bersama-sama dengan keluarga dan pengikut-pengikutnya, dari kesusahan yang besar.
ﭑﭒﭓﭔﭕ
37:77 Dan Kami jadikan zuriat keturunannya sahaja orang-orang yang tinggal hidup (setelah Kami binasakan kaumnya yang ingkar).
ﭖﭗﭘﭙﭚ
37:78 Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
ﭛﭜﭝﭞﭟﭠ
37:79 "Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam ! "
ﭡﭢﭣﭤﭥ
37:80 Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan amal-amal yang baik.
ﭦﭧﭨﭩﭪ
37:81 Sesungguhnya Nabi Nuh itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.
ﭫﭬﭭﭮ
37:82 Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mendustakannya).
ﭯﭰﭱﭲﭳﭴ
37:83 Dan sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim.
ﭵﭶﭷﭸﭹﭺ
37:84 Ketika ia mematuhi perintah tuhannya dengan hati yang suci murni.
ﭻﭼﭽﭾﭿﮀﮁ
37:85 Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: " Apa yang kamu sembah?
ﮂﮃﮄﮅﮆﮇ
37:86 "Patutkah kamu menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah, kerana kamu memutar belitkan kebenaran semata-mata (bukan kerana benarnya)?
ﮈﮉﮊﮋﮌ
37:87 "Maka bagaimana fikiran kamu pula terhadap Allah Tuhan sekalian alam?"
ﮍﮎﮏﮐﮑ
37:88 Kemudian ia memandang dengan satu renungan kepada bintang-bintang (yang bertaburan di langit),
ﮒﮓﮔﮕ
37:89 Lalu berkata: "Sesungguhnya aku merasa sakit (tak dapat turut berhari raya sama)".
ﮖﮗﮘﮙ
37:90 Setelah (mendengar kata-katanya) itu, mereka berpaling meninggalkan dia.
ﮚﮛﮜﮝﮞﮟﮠ
37:91 Lalu ia pergi kepada berhala-berhala mereka secara bersembunyi, serta ia bertanya (kepada berhala-berhala itu, secara mengejek-ejek): "Mengapa kamu tidak makan?
ﮡﮢﮣﮤﮥ
37:92 "Mengapa kamu tidak menjawab?"
ﮦﮧﮨﮩﮪ
37:93 Lalu ia memukul berhala-berhala itu dengan tangan kanannya (sehingga pecah berketul-ketul).
ﮫﮬﮭﮮ
37:94 (Setelah kaumnya mengetahui hal itu) maka datanglah mereka beramai-ramai kepadanya.
ﮯﮰﮱﯓﯔ
37:95 (Bagi menjawab bantahan mereka), ia berkata: "Patutkah kamu menyembah benda-benda yang kamu pahat?
ﯕﯖﯗﯘﯙ
37:96 "Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!"
ﯚﯛﯜﯝﯞﯟﯠﯡ
37:97 (Setelah tak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: "Binalah untuk Ibrahim sebuah tempat (untuk membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang menjulang-julang itu".
ﯢﯣﯤﯥﯦﯧ
37:98 Maka mereka (dengan perbuatan membakar Nabi Ibrahim itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang terkebawah (yang tidak berjaya maksudnya).
ﯨﯩﯪﯫﯬﯭﯮ
37:99 Dan Nabi Ibrahim pula berkata: "Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Tuhanku, Ia akan memimpinku (ke jalan yang benar).
ﯯﯰﯱﯲﯳﯴ
37:100 " Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!"
ﯵﯶﯷﯸ
37:101 Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar.
ﯹﯺﯻﯼﯽﯾﯿﰀﰁﰂﰃﰄﰅﰆﰇﰈﰉﰊﰋﰌﰍﰎﰏﰐﰑﰒﰓﰔﰕ
37:102 Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".
ﭑﭒﭓﭔﭕ
37:103 Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami),
ﭖﭗﭘﭙ
37:104 Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim!
ﭚﭛﭜﭝﭞﭟﭠﭡﭢ
37:105 "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
ﭣﭤﭥﭦﭧﭨ
37:106 Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata;
ﭩﭪﭫﭬ
37:107 Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;
ﭭﭮﭯﭰﭱ
37:108 Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
ﭲﭳﭴﭵ
37:109 "Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!".
ﭶﭷﭸﭹ
37:110 Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
ﭺﭻﭼﭽﭾ
37:111 Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.
ﭿﮀﮁﮂﮃﮄ
37:112 Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh.
ﮅﮆﮇﮈﮉﮊﮋﮌﮍﮎﮏﮐ
37:113 Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak; dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan, dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri.
ﮑﮒﮓﮔﮕﮖ
37:114 Dan demi sesungguhnya! kami telah melimpahkan nikmat pemberian kepada Nabi Musa dan Nabi Harun.
ﮗﮘﮙﮚﮛﮜ
37:115 Dan Kami selamatkan keduanya dan kaumnya dari kesusahan yang besar;
ﮝﮞﮟﮠﮡ
37:116 Dan Kami menolong mereka sehingga menjadilah mereka orang-orang yang berjaya mengalahkan (lawannya);
ﮢﮣﮤﮥ
37:117 Dan Kami berikan kepada keduanya Kitab Suci yang amat jelas keterangannya;
ﮦﮧﮨﮩ
37:118 Dan Kami berikan hidayah petunjuk kepada keduanya ke jalan yang lurus.
ﮪﮫﮬﮭﮮ
37:119 Dan Kami kekalkan bagi keduanya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
ﮯﮰﮱﯓﯔ
37:120 "Salam sejahtera kepada Nabi Musa dan Nabi Harun!"
ﯕﯖﯗﯘﯙ
37:121 Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
ﯚﯛﯜﯝﯞ
37:122 Sesungguhnya mereka berdua adalah dari hamba-hamba Kami yang beriman.
ﯟﯠﯡﯢﯣ
37:123 Dan sesungguhnya Nabi Ilyas adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.
ﯤﯥﯦﯧﯨﯩ
37:124 (Ingatkanlah peristiwa) ketika ia berkata kepada kaumnya: "Hendaklah kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNya.
ﯪﯫﯬﯭﯮﯯ
37:125 "Patutkah kamu menyembah berhala Ba'la, dan kamu meninggalkan (ibadat kepada) sebijak-bijak pencipta?
ﯰﯱﯲﯳﯴﯵ
37:126 "Iaitu Allah Tuhan kamu, dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu!"
ﭑﭒﭓﭔ
37:127 Maka mereka mendustakannya; akibatnya mereka tetap akan dibawa hadir (untuk diseksa),
ﭕﭖﭗﭘﭙ
37:128 Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik (maka mereka akan terselamat, dan mendapat sebaik-baik balasan).
ﭚﭛﭜﭝﭞ
37:129 Dan Kami kekalkan bagi Nabi Ilyas (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
ﭟﭠﭡﭢﭣ
37:130 "Salam sejahtera kepada Nabi Ilyas!"
ﭤﭥﭦﭧﭨ
37:131 Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
ﭩﭪﭫﭬﭭ
37:132 Sesungguhnya Nabi Ilyas itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.
ﭮﭯﭰﭱﭲ
37:133 Dan sesungguhnya Nabi Lut adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.
ﭳﭴﭵﭶﭷ
37:134 (ingatkanlah peristiwa) ketika kami selamatkan dia dan keluarga serta pengikut-pengikutnya semuanya,
ﭸﭹﭺﭻﭼ
37:135 Kecuali seorang perempuan tua tertinggal dalam golongan yang dibinasakan.
ﭽﭾﭿﮀ
37:136 Kemudian Kami hancurkan yang lain (dari pengikut-pengikut Nabi Lut).
ﮁﮂﮃﮄﮅ
37:137 Dan sesungguhnya kamu (yang menentang Nabi Muhammad): berulang-alik (melalui bekas-bekas tempat tinggal) mereka, semasa kamu berada pada waktu pagi.
ﮆﮇﮈﮉﮊ
37:138 Dan juga pada waktu malam; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya?.
ﮋﮌﮍﮎﮏ
37:139 Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.
ﮐﮑﮒﮓﮔﮕ
37:140 (Ingatkanlah peristiwa) ketika ia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat.
ﮖﮗﮘﮙﮚ
37:141 (Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah ia dari orang-orang yang kalah yang digelunsurkan (ke laut).
ﮛﮜﮝﮞﮟ
37:142 Setelah itu ia ditelan oleh ikan besar, sedang ia berhak ditempelak.
ﮠﮡﮢﮣﮤﮥ
37:143 Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih),
ﮦﮧﮨﮩﮪﮫﮬ
37:144 Tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.
ﮭﮮﮯﮰﮱﯓ
37:145 Oleh itu Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang ia berkeadaan sakit.
ﯔﯕﯖﯗﯘﯙ
37:146 Dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok yang berdaun lebar.
ﯚﯛﯜﯝﯞﯟﯠ
37:147 Dan (Nabi Yunus yang tersebut kisahnya itu) Kami utuskan kepada (kaumnya yang seramai) seratus ribu atau lebih.
ﯡﯢﯣﯤﯥ
37:148 (Setelah berlaku apa yang berlaku) maka mereka pun beriman, lalu Kami biarkan mereka menikmati kesenangan hidup hingga ke suatu masa (yang ditetapkan bagi masing-masing).
ﯦﯧﯨﯩﯪﯫ
37:149 (Oleh sebab ada di antara kaum musyrik Arab yang mendakwa bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah) maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka itu: Adilkah mereka membahagi untuk Tuhanmu anak-anak perempuan, dan untuk mereka anak-anak lelaki?
ﯬﯭﯮﯯﯰﯱﯲ
37:150 Atau adakah mereka hadir sendiri menyaksikan Kami mencipta malaikat-malaikat itu - perempuan?
ﯳﯴﯵﯶﯷﯸ
37:151 Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya, dengan sebab terpesongnya dari kebenaran, mereka berkata:
ﯹﯺﯻﯼﯽ
37:152 "Allah beranak"; sedang mereka, sesungguhnya adalah orang-orang yang berdusta!
ﯾﯿﰀﰁﰂ
37:153 (Patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak, dan anak itu pula ialah anak-anak perempuan yang kamu tidak sukai?) Adakah Tuhan memilih serta mengutamakan anak-anak perempuan dari anak-anak lelaki (sedang kedua-dua jenis itu Dia lah yang menciptakannya)?
ﭑﭒﭓﭔﭕ
37:154 Apa sudah jadi kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)?
ﭖﭗﭘ
37:155 Setelah ditegur, maka tidakkah kamu mahu berusaha mengingatkan (bahawa Allah mustahil bagiNya anak-pinak)?
ﭙﭚﭛﭜﭝ
37:156 Atau adakah kamu mempunyai sebarang bukti yang nyata (menerangkan bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah)?
ﭞﭟﭠﭡﭢﭣ
37:157 (Kiranya ada) maka bawalah kitab kamu (yang menerangkan demikian), jika betul kamu orang-orang yang benar.
ﭤﭥﭦﭧﭨﭩﭪﭫﭬﭭﭮﭯ
37:158 (Mereka telah mengatakan perkara yang mustahil) serta mengadakan pertalian kerabat di antara Allah dan malaikat, padahal demi sesungguhnya malaikat itu sedia mengetahui bahawa sebenarnya orang-orang yang melakukan demikian akan dibawa hadir (ke dalam azab pada hari akhirat).
ﭰﭱﭲﭳﭴ
37:159 Maha Suci Allah dari apa yang mereka katakan itu!
ﭵﭶﭷﭸﭹ
37:160 Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik, (maka mereka akan terselamat, dan akan mendapat sebaik-baik balasan).
ﭺﭻﭼﭽ
37:161 Maka sebenarnya kamu (wahai orang-orang musyrik), dan apa yang kamu sembah itu.
ﭾﭿﮀﮁﮂ
37:162 Tidak akan dapat merosakkan perhubungan seseorang dengan Tuhannya,
ﮃﮄﮅﮆﮇﮈ
37:163 kecuali orang-orang yang telah ditetapkan bahawa dia akan dibakar di dalam neraka yang menjulang-julang.
ﮉﮊﮋﮌﮍﮎﮏ
37:164 (Malaikat pula menegaskan pendirian mereka dengan berkata): "Dan tiada sesiapapun dari kalangan kami melainkan ada baginya darjat kedudukan yang tertentu (dalam menyempurnakan tugasnya);
ﮐﮑﮒﮓ
37:165 "Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa berbaris (menjunjung perintah dan beribadat),
ﮔﮕﮖﮗ
37:166 "Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa bertasbih (mensucikan Allah dari sebarang sifat kekurangan)!"
ﮘﮙﮚﮛ
37:167 Dan sebenarnya mereka (yang musyrik) itu dahulu pernah berkata:
ﮜﮝﮞﮟﮠﮡﮢ
37:168 "Kalaulah ada di sisi kami Kitab Suci dari (bawaan Rasul-rasul) yang telah lalu
ﮣﮤﮥﮦﮧ
37:169 "Tentulah kami akan menjadi hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik!"
ﮨﮩﮪﮫﮬﮭ
37:170 (Setelah Al-Quran diturunkan kepada mereka) mereka mengingkarinya; oleh itu mereka akan mengetahui kelak (akibat kekufurannya).
ﮮﮯﮰﮱﯓﯔ
37:171 Dan demi sesungguhnya! Telah ada semenjak dahulu lagi, ketetapan Kami, bagi hamba-hamba Kami yang diutus menjadi Rasul -
ﯕﯖﯗﯘ
37:172 Bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang yang diberikan pertolongan mencapai kemenangan
ﯙﯚﯛﯜﯝ
37:173 Dan bahawasanya tentera Kami (pengikut-pengikut Rasul), merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran).
ﯞﯟﯠﯡﯢ
37:174 Oleh itu berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka, (jangan hiraukan celaan mereka serta bersabarlah) hingga ke suatu masa.
ﯣﯤﯥﯦ
37:175 Dan lihat (apa yang akan menimpa) mereka; tidak lama kemudian mereka akan melihat (kemenangan yang telah Kami tetapkan untukmu).
ﯧﯨﯩ
37:176 Maka tidaklah patut mereka meminta disegerakan azab (yang telah ditetapkan oleh) Kami!
ﯪﯫﯬﯭﯮﯯﯰ
37:177 Kerana apabila azab itu turun dalam daerah dan kawasan mereka, sudah tentu buruklah hari orang-orang yang tidak mengindahkan amaran yang telah diberikan.
ﯱﯲﯳﯴﯵ
37:178 Dan berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka, (jangan hiraukan celaan mereka serta bersabarlah) hingga ke suatu masa.
ﯶﯷﯸﯹ
37:179 Dan lihatlah (apa yang akan jadi); tidak lama kemudian, mereka pun akan melihat juga.
ﯺﯻﯼﯽﯾﯿﰀ
37:180 Akuilah kesucian Tuhanmu, - Tuhan yang mempunyai keagungan dan kekuasaan, - dari apa yang mereka katakan!
ﰁﰂﰃﰄ
37:181 Dan (ucaplah) salam sejahtera kepada sekalian Rasul.
ﰅﰆﰇﰈﰉ
37:182 Serta (ingatlah bahawa) segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.

Al-Quran


Wednesday, September 9, 2026

Jangan lupakan kami dalam doa baik anda